Orang yang berpuasa bukan sahaja dituntut oleh syarak supaya menjaga diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa, bahkan juga daripada setiap perkara yang merosakkan pahala puasanya.
Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:
32- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَصْخَبْ فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ. (رواه البخاري)
32- Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: "Apabila seseorang dari kamu sedang berpuasa, maka janganlah ia melakukan sesuatu yang keji atau marah menjerit-jerit, kalau ada orang menghamunnya atau mengajaknya berkelahi, maka hendaklah ia (bersabar sambil) berkata (dalam hati atau dengan berterang-terang): Aku ini sedang berpuasa ..". (1)
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari)
Tujuan seseorang muslim dan muslimah diwajibkan oleh Allah Taala berpuasa dalam bulan Ramadhan ialah untuk mendidiknya sehingga ia dapat mencapai darjat "taqwa", seperti yang ditegaskan di dalam al-Qur'an.(2)
Sedang maksud "taqwa" ialah mengerjakan apa yang disuruh (yang wajib dan yang sunat) dan mencegah diri daripada melakukan segala yang dilarang (yang haram dan yang makruh).
Sebab itu puasa yang sempurna dan diredhai Allah bukan setakat menahan diri daripada makan minum dan segala yang membatalkan puasa, tetapi hendaklah juga membendung segala anggota dan pancaindera daripada melakukan sesuatu yang merosakkan pahala puasanya, iaitu:
Lidah: Daripada menuturkan kata nista, umpat keji, berdusta dan sebagainya.
Mata: Daripada melihat segala yang dilarang syarak.
Telinga: Daripada mendengar segala yang ditegah syarak.
Tangan dan kaki: Daripada melakukan segala yang dimurkai Allah Azza wa Jalla.
________________________________
Ini diterangkan dalam hadith yang berikut:
33- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ وَالْجَهْلَ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ. (رواه البخاري وأبو داود)
33- Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Barangsiapa tidak meninggalkan kata-kata dusta dan beramal dengannya dan perbuatan liar yang lazimnya dilakukan oleh orang-orang jahil, maka tiada bagi Allah sesuatu hajat tentang ia meninggalkan makanannya dan minumannya".(1)
(Hadith Sahih - Riwayat Bukhari dan Abu Daud)
Yakni orang-orang yang bersifat demikian, sia-sia sahaja puasanya, kerana Allah Taala tidak memberikan sebarang penghargaan kepadanya, walaupun ia telah bersusah payah menanggung lapar dan dahaga.
______________________________
Ditegaskan lagi dalam hadith yang berikut:
34- عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَمْ مِنْ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الظَّمَأُ وَكَمْ مِنْ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ. (رواه الدارمي)
34- Dan Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: "Berapa banyak orang yang berpuasa, sedang ia tidak mendapat dari puasanya itu melainkan dahaga semata-mata dan berapa banyak pula orang yang mengerjakan sembahyang (sunat pada malam hari), sedang ia tidak mendapat dari sembahyangnya itu melainkan menyengkang mata - berjaga malam".(1)
(Hadith: Riwayat Darimi)
______________________________
Petikan Dari http://www.islamgrid.gov.my
No comments:
Post a Comment